Nur Fatin Mara Ke Peringkat Akhir Di Dalam Acara Memanah | TWELFTH COLLEGE
» NEWS » Nur Fatin Mara Ke Peringkat Akhir Di Dalam Acara Memanah

Nur Fatin Mara Ke Peringkat Akhir Di Dalam Acara Memanah

Oleh: Farah Nabila binti Mohd Fadzli

 

Nur Fatin dua dari kiri bergambar bersama Pengetua Kolej Dua Belas, rakan-rakan seperjuangan dan Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Sukan semasa majlis penyampaian hadiah.

 

SERDANG, 17 November 2019: Keyakinan diri yang tinggi serta latihan yang berterusan berjaya membawa pelajar Tahun 2 Bacelor Sains Mikrobiologi, Nur Fatin Najihah binti Roslan ke pentas akhir Kejohanan Sukan Kolej (SUKOL) acara memanah kategori individu wanita seterusnya merangkul Naib Johan pada 17 November 2019 yang lalu.

Kejohanan Sukan Kolej (SUKOL) merupakan kejohanan sukan anjuran Pusat Sukan UPM yang disertai oleh sembilan buah kolej kediaman di UPM di mana kejohanan sukan ini dipertandingkan di dalam semester 1 dan semester 2 mengikut sesi pengajian dan sukan memanah merupakan sukan yang dipertandingkan di semester 1.

Nur Fatin merupakan wakil daripada Kolej Dua Belas dan ini merupakan tahun kedua beliau menyertai kejohan SUKOL acara memanah dan baru-baru ini beliau berjaya mara ke peringkat akhir serta mendapat Naib Johan buat kali pertama sepanjang menyertai acara tersebut.

Menurut Nur Fatin, beliau berasa amat gembira kerana ini merupakan pengalaman pertama seumur hidupnya beliau mendapat mendapat tempat di dalam kejohanan memanah sejak di bangku sekolah, namun sedikit terkilan kerana beliau merasakan mampu untuk merangkul johan sekiranya beliau melakukan banyak latihan, mempunyai stamina yang tinggi, perbetulkan formasi dan fokus, merujuk kepada yang pakar serta yakin dengan diri sendiri. 

Seorang lagi wakil memanah daripada Kolej Dua Belas yang juga merupakan teman seperjuangan Nur Fatin, Nur Irrana berkata Nur Fatin seorang yang cepat belajar dan beliau menunjukkan prestasi yang baik serta mereka sentiasa berkongsi dan meperbetulkan kesilapan teknik memanah berdasarkan pengalaman masing-masing.

Di dalam temu bual itu juga, Nur Fatin memberikan cara untuk mengimbangkan masa untuk latihan dan juga pelajaran di mana beliau akan memastikan beliau akan berlatih setiap minggu walaupun sekali dan beliau juga akan memastikan tugasan-tugasan akan diselesaikan terutamanya tugasan yang penting.

Akhir sekali, Nur Fatin mempunyai harapan yang besar kepada pihak kolej kediaman di UPM untuk memperkenalkan sukan ini kepada semua pelajar terutamanya pelajar yang beragama Islam kerana sukan memanah adalah sunnah serta beliau juga mengharapkan agar Pusat Sukan, UPM dapat menganjurkan kelas memanah kerana sukan ini merupakan sukan teknikal yang memerlukan pembelajaran asas supaya para pelajar lebih mahir pada masa akan datang.

Pada majlis penutupan yang dirasmikan oleh Pengetua Kolej Dua Belas, YBhg. Prof. Madya Dr. Mohamad Aris bin Mohd Moklas berkata, beliau amat berbangga dengan pencapaian sukan yang ditunjukkan oleh semua peserta daripada kolej-kolej kediaman di UPM dan beliau berharap agar para pelajar dapat menceburi apa-apa sahaja jenis sukan yang diminati.

Nur Fatin di sebelah kanan sedang fokus kepada target dengan  menarik busur untuk memastikan anak panah dilepaskan ke target yang betul.

Date of Input: 26/11/2019 | Updated: 26/11/2019 | aynafarhana

MEDIA SHARING

TWELFTH COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 7362/ 2160
-
SXEUPAa~