COVID-19: MKN, KKM, KPT Tentukan SOP Pelajar Balik Kampung | TWELFTH COLLEGE
» NEWS » COVID-19: MKN, KKM, KPT Tentukan SOP Pelajar Balik Kampung

COVID-19: MKN, KKM, KPT Tentukan SOP Pelajar Balik Kampung

Oleh: Ayna Farhana Mohamad Sari

 

Pelajar UPM, Khairul Naim Md Padzil 26 (kiri), bersama Karthi Paramisparan 27 (tengah) dan Muhammad Fahmi Mohamed Rafie 23, meluangkan masa bermain permainan komputer untuk menghilangkan rasa bosan apabila pelajar institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta diminta terus kekal di asrama dan kolej masing-masing susulan tempoh PKP dilanjutkan sehingga 28 April ini. - Foto Aizuddin Saad.

 

SERDANG, 21 April - Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk menguruskan perjalanan pulang pelajar universiti ke rumah masing-masing. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara SOP yang diambil kira ialah tempoh yang perlu diambil untuk melakukan proses saringan kesihatan terhadap kira-kira 100,000 pelajar universiti terbabit dan bagaimana mengelak pergerakan secara massa.


“Kita akan menyediakan SOP, tetapi bila akan dibenarkan pulang, mungkin belum ditetapkan lagi sebab jika mereka perlu membuat saringan, jumlah pelajar kira-kira 100,000 tentu jangka masa yang lama untuk dilakukan.
“Berdasarkan faktor itu, barulah boleh ditentukan nanti bila tarikh untuk dibenarkan pulang. Kalau dibenarkan pulang nanti MKN, KKM dan KPT akan mengeluarkan SOP penghantaran pulang.


“Yang penting, kita tidak mahu banyak pergerakan kerana tidak mahu pergerakan besar-besaran berlaku. Bayangkan jika balik serentak, bas berbondong-bondong balik dan singgah di hentian rehat dan rawat (R&R), akan berlaku pertembungan yang besar, kita nak cuba elak perkara ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.


Unit Bimbingan dan Kaunseling dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar turut menjalankan saringan ‘Minda Sihat’ kepada semua pelajar di dalam dan luar kampus bagi mengenal pasti pelajar yang mempunyai masalah kemurungan, kebimbangan dan stres serta masalah peribadi lain untuk dirujuk terus kepada kaunselor.


Pusat Kesihatan Universiti (PKU) turut dibuka bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada semua pelajar yang berada di kolej kediaman selain perkhidmatan kaunseling secara dalam talian untuk membantu pelajar yang mempunyai sebarang masalah emosi.
Semua pelajar di kampus berada dalam keadaan terkawal dan selamat. Kami menerima bantuan dari pihak UiTM dan pihak luar. Setakat ini, semua pelajar dalam keadaan baik cuma terdapat segelintir yang rindukan kampung halaman. Walaupun ada beberapa pelajar yang berasa agak kecewa dan sedih tidak dapat pulang ke kampung bagi menyambut bulan Ramadan beberapa hari lagi, tetapi mereka tetap berfikiran positif dan terus untuk kekal berada di kampus.


Tinjauan di laman sosial pula mendapati rata-rata pelajar universiti memberikan reaksi positif terhadap bantuan dan kemudahan yang diberikan pihak universiti kepada pelajar yang tidak pulang ke kampung semasa tempoh PKP.

 

Sumber: BH Online

Date of Input: 26/04/2020 | Updated: 26/04/2020 | aynafarhana

MEDIA SHARING

TWELFTH COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 7362/ 2160
-
SXEbKAe~