LAPORAN BERITA
MEMAHAMI WARISAN, MEMUPUK PERPADUAN
KOLEJ DUA BELAS
SESI 2024/2025 SERDANG, 17 MEI – Program Memahami Warisan, Memupuk Perpaduan merupakan program anjuran Sekretariat Kerohanian dan Perpaduan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Dua Belas sesi 2024/2025 dengan kerjasama Pihak Pengurusan Kolej Dua Belas dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM. Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan mendalam tentang kepelbagaian warisan budaya dan sejarah Malaysia, seterusnya memupuk kesedaran dan penghargaan terhadap kekayaan warisan negara. Melalui lawatan ini, peserta berpeluang menelusuri pelbagai galeri dan pameran yang memaparkan sejarah, adat resam, dan pencapaian masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Setiap pameran menawarkan pengalaman pembelajaran yang interaktif dan menarik, membolehkan peserta memahami dengan lebih mendalam tentang asal-usul, perkembangan, dan sumbangan setiap kaum dalam membentuk identiti negara. Selain memperkaya pengetahuan tentang warisan budaya, program ini juga bertujuan untuk mengukuhkan semangat perpaduan dan toleransi dalam kalangan mahasiswa. Melalui aktiviti interaktif seperti sesi perkongsian pengetahuan, perbincangan kumpulan, dan refleksi, peserta akan didorong untuk berkomunikasi secara terbuka, bekerjasama, dan menghormati kepelbagaian budaya yang wujud dalam masyarakat Malaysia.
Program ini bermula pada jam 8.45 pagi dengan perhimpunan peserta sebelum bergerak ke Muzium Negara. Lawatan berpandu dimulakan tepat pada jam 10.00 pagi dan dibahagikan kepada tiga kumpulan, dengan setiap kumpulan dipandu oleh seorang sukarelawan berpengalaman. Lawatan mengambil masa lebih kurang dua jam, di mana peserta dibawa melawat galeri-galeri utama seperti Galeri Sejarah Awal, Galeri Kerajaan Melayu, Galeri Era Kolonial dan Galeri Malaysia Kini. Program Memahami Warisan, Memupuk Perpaduan ini telah menerima 42 penyertaan yang terdiri daripada kolegiat-kolegiat Kolej Dua Belas dan turut disertai oleh dua orang felo yang turut serta aktif dalam sesi lawatan sambil memastikan kelancaran program.
Keunikan program ini terletak pada gabungan ilmu dan interaksi. Peserta bukan sahaja berpeluang melihat sendiri artifak-artifak bersejarah yang mempersona, malah turut terlibat dalam sesi soal jawab yang meriah, mencerminkan semangat ingin tahu dan penghargaan terhadap warisan negara. Penyertaan pelbagai kaum dalam aktiviti ini juga menyerlahkan keindahan kepelbagaian budaya Malaysia, sekaligus mengukuhkan ikatan perpaduan dalam kalangan peserta. Lawatan berpandu berakhir pada jam 12.00 tengah hari dengan sesi bergambar kenang-kenangan dan pemberian saguhati sebagai tanda penghargaan kepada para sukarelawan. Program kemudian diakhiri dengan santapan tengah hari di kafeteria Muzium Negara sebelum peserta bertolak pulang ke Universiti Putra Malaysia (UPM) pada pukul 1.30 petang.

Gambaran 1 menunjukkan ketibaan peserta dan felo di hadapan Muzium Negara.

Gambaran 2 menunjukkan peserta program tekun mendengar penerangan terperinci daripada sukarelawan Muzium Negara.

Gambaran 3 menunjukkan antara contoh artifak yang dipamerkan di Muzium Negara.

Gambaran 4 menunjukkan sesi pemberian saguhati oleh felo kepada sukarelawan sebagai tanda penghargaan.

Gambaran 5 menunjukkan peserta bergambar bersama sukarelawan selepas tamat lawatan berpandu.
Date of Input: 13/06/2025 | Updated: 13/06/2025 | m.ahir

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR