MAJLIS PENYERAHAN BENDERA KEPADA KONTINJEN
KOLEJ DUA BELAS SEMESTER PERTAMA SESI 2024/2025
SERDANG, 9 NOVEMBER – Majlis Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen Kolej Dua Belas merupakan program anjuran Sekretariat Sukan Dan Rekreasi, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Dua Belas sesi 2024/2025 dengan kerjasama Pihak Pengurusan Kolej Dua Belas UPM. Program ini dianjurkan sebagai pengiktirafan kepada para kontinjen Kolej Dua Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang akan mewakili Kolej Dua Belas dalam pertandingan Sukan Kolej UPM (SUKPRA).
Melalui program ini, mahasiswa dapat meningkatkan prinsip moral dalam pertandingan sukan agar berupaya melahirkan atlet yang berdaya saing. Bukan itu sahaja, program ini sebagai sumber motivasi untuk mencapai prestasi yang optimum. Penglibatan yang aktif ini secara tidak langsung memberi mereka gambaran dan pengalaman sebenar semangat juang dalam diri para atlet untuk mengharumkan nama Kolej Dua Belas. Program ini bermula pada jam 8:30 malam dengan ketibaan pengetua dan barisan felo diiringi oleh pengarah program. Program dibuka dengan bacaan doa dan disusuli dengan ucapan daripada pengarah program serta ucapan daripada pengetua kolej dua belas.
Program kemudian diteruskan dengan agenda utama yang paling dinanti-nantikan iaitu penyerahan bendera kepada kontinjen Kolej Dua Belas yang akan mewakili kolej dalam SUKPRA semester pertama sesi 2024/2025. Sebanyak 10 kontinjen sukan telah menerima bendera rasmi pada majlis yang berlangsung baru-baru ini. Acara kemuncak majlis diteruskan dengan bacaan ikrar oleh Ketua Kontinjen, Ahmad Muqri, yang diikuti oleh semua ahli kontinjen. Dalam ikrarnya, beliau menyatakan komitmen penuh untuk bertanding dengan semangat yang tinggi, menjaga disiplin, dan memberikan yang terbaik untuk kolej tercinta.
Majlis penyerahan bendera ini bukan sahaja memberi penghargaan kepada kontinjen kolej, tetapi juga memperkukuhkan lagi semangat perpaduan dan kecemerlangan dalam kalangan warga kolej. Diharapkan kontinjen dua belas dapat beraksi dengan cemerlang, membawa pulang kejayaan yang membanggakan, dan menjadi contoh kepada semua pelajar dalam usaha mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang. Majlis berakhir dengan sesi bergambar bersama kontinjen kolej dan para hadirin, menandakan satu langkah baru yang penuh semangat bagi pasukan yang akan berjuang di kejohanan akan datang.

Gambaran 1 menunjukkan Pengarah program sedang memberikan ucapan.

Gambaran 2 menunjukkan Pengetua Kolej Dua Belas sedang memberikan ucapan.

Gambaran 3 menunjukkan sesi penyerahan bendera kepada kontinjen Kolej Dua Belas
yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa, Pengetua Kolej Dua Belas.

Gambaran 4 menunjukkan sesi bacaan ikrar diketuai oleh wakil atlet Kolej Dua Belas.

Gambaran 5 menunjukkan sesi bergambar para tetamu bersama kontinjen Kolej Dua Belas.
Date of Input: 23/01/2025 | Updated: 23/01/2025 | m.ahir

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR