K12 X UMT: SAVE THE TURTLE | TWELFTH COLLEGE
» NEWS » K12 X UMT: SAVE THE TURTLE

K12 X UMT: SAVE THE TURTLE

K12 X UMT: SAVE THE TURTLE

KOLEJ DUA BELAS SESI 2024/2025

 

CHAGAR HUTANG TURTLE SANCTUARY, TERENGGANU, 4 MEI – Program K12 X UMT: Save The Turtle merupakan program anjuran Sekretariat Kesukarelawanan dan Pengantarabangsaan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Dua Belas sesi 2024/2025. Program ini dijalankan dengan hasil usaha kolaborasi antara Kesatuan Mahasiswa, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pihak Pengurusan Kolej Dua Belas, Universiti Putra Malaysia dan Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Universiti Malaysia Terengganu dengan tajaan bahan media daripada Ummispoon. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang peranan sukarelawan iaitu mahasiswa Universiti Putra Malaysia itu sendiri dalam usaha pemeliharaan ekosistem marin di Malaysia. Di samping itu, program ini juga memberi kefahaman tentang kepentingan kesukarelawanan dalam pemuliharaan biodiversiti dalam kalangan mahasiswa Universiti Putra Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kursus, sekali gus memupuk semangat tanggungjawab sosial dan kesedaran alam sekitar merentas bidang pengajian. Penyertaan pelajar dengan latar belakang akademik yang berbeza turut memperlihatkan kesatuan dalam usaha melestarikan alam sekitar, khususnya melalui perlindungan spesies marin seperti penyu yang semakin terancam.

 

Program ini telah dilaksanakan dalam dua sesi utama, iaitu sesi pertama telah berlangsung pada 10 Mei 2025 bertempat di Dewan Putra 2, Kolej Dua Belas, bermula pada jam 8.00 malam sehingga 11.00 malam, melibatkan seramai 120 orang peserta. Sesi ini telah menampilkan Encik Khairul Anwar Bin Abdul Jalil, seorang Junior Marine Biologist dari Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Universiti Malaysia Terengganu, sebagai penceramah jemputan. Dalam ceramahnya, beliau telah berkongsi pelbagai topik menarik berkaitan pemuliharaan penyu laut, termasuk kepentingan biologi penyu dalam ekosistem marin serta peranan komuniti dalam menyokong usaha pemuliharaan jangka panjang. Seterusnya, Sesi kedua pula merupakan kem yang telah berlangsung di Chagar Hutang Turtle Sanctuary, Pulau Redang, Terengganu, dari 2 hingga 4 Mei 2025. Seramai 20 orang peserta terpilih yang terdiri daripada mahasiswa Kolej Dua Belas telah menyertai kem selama tiga hari dua malam ini. Para peserta telah terlibat secara langsung dalam aktiviti konservasi seperti pemantauan sarang penyu, sesi cerapan penyu bertelur, pemindahan telur, pembersihan pantai serta perkongsian bersama penyelidik SEATRU. Selain itu, pengisian sesi ini turut diperkaya dengan pelaksanaan modul pendidikan alam sekitar yang menyeluruh, antaranya "Getting to Know Turtles" serta "Nesting, Monitoring and Tagging of Turtles". Modul-modul ini dirangka khusus bagi memperluas pengetahuan peserta berkaitan biologi penyu, tingkah laku semasa musim bertelur, kaedah pemantauan saintifik serta teknik penandaan penyu yang digunakan dalam kajian pemuliharaan.

Program ini telah dimulakan seawal jam 2.00 pagi pada 2 Mei, hari jumaat, di mana para peserta mula berkumpul, mendaftar, dan menikmati sarapan pagi di Surau Serumpun sebelum bertolak ke Jeti Merang, Terengganu pada pukul 2.30 pagi. Setibanya di lokasi, program dimulakan dengan bacaan doa sebagai pembuka majlis, diikuti dengan ucapan perasmian oleh pengarah program. Seterusnya, para peserta diberikan taklimat terperinci mengenai ‘SEATRU Conservation Project’ yang merangkumi latar belakang projek, peraturan serta undang-undang yang perlu dipatuhi sepanjang program berlangsung. Pihak SEATRU turut menyampaikan pengagihan modul "Turtle Conservation Management" sebagai garis panduan kepada peserta bagi aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan. Sepanjang program berlangsung di pulau tersebut, aktiviti dijalankan secara berkumpulan, di mana setiap kumpulan telah diselia oleh seorang fasilitator yang bertanggungjawab memantau pergerakan dan kemajuan peserta. Kaedah ini bertujuan untuk memastikan kelancaran aktiviti serta memaksimumkan pembelajaran secara berfokus dalam kalangan peserta.

 

Kemudian, pada hari berikutnya iaitu 3 Mei, para peserta berpeluang menyertai aktiviti air iaitu Water Confidence, di mana mereka dikehendaki menjalani latihan asas keselamatan air yang merangkumi teknik apungan, kawalan pernafasan, dan keyakinan diri ketika berada di dalam air terbuka. Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan peserta sebelum terlibat dalam aktiviti berkaitan marin sepanjang program. Seterusnya, aktiviti modul diteruskan dengan Turtle Hatchery Management, Threats to Turtles, dan Turtle Tourism yang bertujuan menambah pengetahuan peserta dalam aspek pengurusan penyu secara holistik dan berkesan. Lebih menarik, para peserta turut berpeluang menyertai aktiviti riadah seperti Turtle Rock Hiking, yang menjadi antara tarikan utama di pulau tersebut. Pemandangan semula jadi yang indah dan panoramik telah memberikan ruang kepada peserta untuk menenangkan minda dan melepaskan tekanan, sekali gus mengukuhkan hubungan antara peserta dalam suasana yang santai dan menyegarkan.

 

Akhir sekali, Majlis Penutupan Program telah disempurnakan pada 4 Mei 2025 dengan sesi refleksi, penyampaian cenderamata, dan sesi bergambar sebagai tanda penghargaan kepada pihak SEATRU atas kerjasama dan komitmen mereka sepanjang program berlangsung. Sepanjang program ini berlangsung, seramai tiga orang wakil daripada pihak SEATRU serta beberapa orang peserta telah ditemu bual bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap pelaksanaan program tersebut. Buden (nama samaran), seorang pelatih dan penyelidik penyu yang mewakili SEATRU, menyatakan bahawa program ini berjaya memberikan kesedaran dan pendedahan yang signifikan kepada generasi muda berhubung isu ancaman terhadap spesies penyu. Menurutnya, masih ramai individu di luar sana yang memandang ringan akan isu ini. Selain itu, para peserta yang ditemu bual turut berkongsi pandangan yang sama serta menyatakan bahawa mereka memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan baharu sepanjang penyertaan mereka. Kejayaan penganjuran program ini membuktikan bahawa inisiatif pemuliharaan alam sekitar dapat dilaksanakan secara berkesan melalui penglibatan aktif generasi muda, khususnya dalam kalangan mahasiswa, serta kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan badan penyelidikan.

 

 

 

Gambaran 1 menunjukkan Encik Khairul Anwar sedang menyampaikan perkongsian yang menarik tentang kitaran hidup penyu laut kepada peserta.

 

 

Gambaran 2 menunjukkan pihak SEATRU memberikan penerangan terperinci mengenai kaedah pengurusan sarang telur penyu.

 

 

Gambaran 3 menunjukkan hasil pengumpulan telur penyu yang perlu dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat.

 

 

Gambaran 4 menunjukkan sesi penyampaian sagu hati dari pihak SEATRU kepada pihak Kolej Dua Belas.

 

 

Gambaran 5 menunjukkan sesi bergambar bersama pihak SEATRU dan peserta program K12 X UMT: Save The Turtle.

Date of Input: 09/06/2025 | Updated: 09/06/2025 | m.ahir

MEDIA SHARING

TWELFTH COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1440/ 2160
-
F, (02:05:58pm-02:10:58pm, 18 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]