K12 STENCIL ART WORKSHOP @ ASWARA | KOLEJ DUA BELAS
» BERITA » K12 STENCIL ART WORKSHOP @ ASWARA

K12 STENCIL ART WORKSHOP @ ASWARA

 K12 STENCIL ART WORKSHOP @ ASWARA

KOLEJ DUA BELAS SESI 2025/2026

 

SERDANG, 20 JUN – Program K12 Stencil Art Workshop @ ASWARA merupakan program anjuran Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Dua Belas Sesi 2025/2026 dengan kerjasama Pihak Pengurusan Kolej Dua Belas. Program ini bertujuan untuk memupuk minat mahasiswa UPM dalam bidang seni tampak tradisional sambil menggalakkan peserta untuk menggunakan kreativiti dan daya imaginasi dalam berkarya. Melalui aktiviti penghasilan karya seni cetakan, peserta berpeluang untuk menerokai kepelbagaian teknik dan motif dalam seni kreatif sekaligus mencetuskan apresiasi terhadap seni tradisional. Penglibatan peserta yang penuh semangat sepanjang program membentuk mahasiswa yang teliti dan berinovasi serta memupuk keyakinan dan kesabaran dalam menyelesaikan sesuatu.

 

Program bermula pada pukul 8.30 pagi dengan pendaftaran peserta dan sarapan pagi, diikuti dengan taklimat ringkas perjalanan program. Pada pukul 9.00 pagi, para peserta menaiki bas untuk bertolak ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Peserta tiba di ASWARA pada pukul 10.00 pagi dan berkumpul di Fakulti Seni Halus bagi pelaksanaan aktiviti.

 

Program dimulakan dengan aktiviti pertama iaitu penghasilan kertas buatan sendiri. Demonstrasi lengkap dilakukan oleh Puan Aqmar, yang merupakan salah satu alumni ASWARA. Puan Aqmar menerangkan tentang bahan-bahan dan juga pelbagai teknik dan proses kepada peserta untuk penghasilan kertas buatan sendiri. Proses ini dimulakan dengan bancuhan kertas hancur dan pewarna yang digaul rata. Selepas itu, sebuah bingkai khas direndam dalam bancuhan tersebut untuk mendapatkan bentuk kertas yang diingini beserta dengan ketebalan yang sesuai. Kertas hancur berwarna yang terdapat di atas bingkai kemudian ditekap menggunakan span bagi penyerapan air lalu dijemur di bawah matahari bagi proses pengeringan. Setelah selesai demonstrasi ringkas, peserta diberi peluang untuk mencuba aktiviti tersebut dengan bantuan beberapa fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa ASWARA.  Peserta bebas menerokai pelbagai warna, teknik dan juga corak dalam penghasilan kertas buatan sendiri. Setiap ruang dipenuhi dengan hasil kertas buatan peserta yang warna-warni dan unik hasil dari kreativiti masing-masing.

 

Selepas waktu rehat dan makan tengah hari, program diteruskan dengan aktiviti seni cetakan lino yang dikendalikan oleh Encik Aniq, alumni ASWARA. Beliau memulakan sesi dengan demonstrasi mengenai teknik asas seni cetakan lino, termasuk cara memindahkan lakaran ke atas blok lino, teknik mengukir menggunakan alatan khas dengan selamat serta proses menghasilkan cetakan yang kemas dan berkualiti. Seterusnya, para peserta diberi peluang untuk menghasilkan karya masing-masing dengan bimbingan Encik Aniq dan fasilitator daripada ASWARA. Pelbagai hasil cetakan yang kreatif berjaya dihasilkan, sekali gus memberi pendedahan kepada peserta tentang nilai ketelitian, kesabaran dan kreativiti dalam menghasilkan karya seni bercetak.

 

Aktiviti seni cetakan lino berakhir pada pukul 3.30 petang dan diteruskan dengan majlis penghargaan sebagai tanda penghargaan kepada pihak ASWARA serta tenaga pengajar yang telah berkongsi ilmu dan pengalaman sepanjang bengkel berlangsung. Program diakhiri dengan sesi fotografi beramai-ramai sebagai kenangan sebelum para peserta menaiki bas untuk bertolak pulang ke Universiti Putra Malaysia pada pukul 4.30 petang dengan membawa pulang pengalaman baharu serta ilmu yang bermanfaat dalam bidang seni tampak.




 

Gambar 1: Ketibaan dan pendaftaran peserta.

 

 

 

Gambar 2: Sesi demonstrasi kertas buatan sendiri.



 

 

Gambar 3: Aktiviti penghasilan kertas buatan sendiri  sedang berlangsung.

 

 

 

Gambar 4: Sesi demonstrasi seni cetakan lino  sedang berlangsung.

 

 


Gambar 5: Penghasilan seni cetakan lino oleh para peserta.




 

 

Gambar 6: Sesi penghargaan.

 

 

 

Gambar 7: Sesi fotografi.

Tarikh Input: 27/07/2026 | Kemaskini: 27/07/2026 | m.ahir

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ DUA BELAS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1440/ 2160
-
X, (11:00:07am-11:05:07am, 02 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]