K12 EFOOTBALL TOURNAMENT | KOLEJ DUA BELAS
» BERITA » K12 EFOOTBALL TOURNAMENT

K12 EFOOTBALL TOURNAMENT

K12 EFOOTBALL TOURNAMENT

KOLEJ DUA BELAS SESI 2025/2026

 

SERDANG, 9 MEI – Program K12 eFootball Tournament merupakan program anjuran Sekretariat Sukan dan Rekreasi, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Dua Belas Sesi 2025/2026 dengan kerjasama Pihak Pengurusan Kolej Dua Belas. Program ini bertujuan menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa UPM dalam sukan esports yang semakin berkembang pesat selari dengan perkembangan teknologi digital masa kini. Program ini bertujuan menjadikan permainan video berasaskan sukan bola sepak sebagai medium pembinaan kemahiran strategik dan komunikasi serta kemahiran individu dalam kalangan para peserta. Melalui pendekatan pertandingan yang kompetetif namun santai para peserta akan didedahkan kepada elemen perancangan taktikal serta kecekapan membuat keputusan dan pengurusan emosi dalam situasi tekanan.

 

Program K12 eFootball Tournament telah bermula seawal pukul 8.00 pagi dengan sesi pendaftaran peserta yang berlangsung di Dewan Putra 2, Kolej Serumpun, Universiti Putra Malaysia (UPM). Para peserta hadir bagi mengesahkan penyertaan masing-masing sebelum diberikan maklumat berkaitan perjalanan program. Sesi pendaftaran berjalan dengan lancar hasil kerjasama yang baik daripada pihak jawatankuasa dan para peserta. Pada pukul 8.30 pagi, sesi taklimat dan penerangan format pertandingan telah disampaikan oleh pihak penganjur. Taklimat tersebut merangkumi peraturan pertandingan, sistem pemarkahan, pembahagian kumpulan serta perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh peserta sepanjang kejohanan berlangsung.

 

Perlawanan peringkat kumpulan bermula pada pukul 8.45 pagi dan berlangsung sehingga pukul 1.00 tengah hari. Para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi memastikan pertandingan dapat dijalankan secara teratur dan adil. Setiap peserta diberikan peluang untuk bersaing dengan ahli kumpulan masing-masing dalam usaha mengumpul mata sebanyak mungkin untuk melayakkan diri ke peringkat kalah mati. Suasana pertandingan menjadi semakin meriah apabila para peserta mempamerkan kemahiran permainan, strategi dan semangat kesukanan yang tinggi. Sorakan serta sokongan daripada rakan-rakan turut menambahkan lagi kemeriahan kejohanan dan memberi motivasi kepada peserta untuk memberikan prestasi terbaik.

 

Pada pukul 1.00 tengah hari, pertandingan dihentikan sementara bagi memberi ruang kepada para peserta dan jawatankuasa untuk berehat serta menunaikan solat Zohor. Tempoh rehat ini juga digunakan oleh pihak urus setia untuk menyemak dan mengesahkan keputusan perlawanan peringkat kumpulan sebelum senarai peserta yang layak ke peringkat kalah mati diumumkan. Sesi ini berlangsung sehingga pukul 2.00 petang.

 

Pertandingan diteruskan semula pada pukul 2.00 petang dengan perlawanan peringkat kalah mati. Pada peringkat ini, hanya peserta yang berjaya mencatat keputusan terbaik dalam kumpulan masing-masing layak meneruskan cabaran. Perlawanan berlangsung dalam suasana yang lebih kompetitif kerana setiap peserta berusaha untuk mengelakkan penyingkiran dan merebut tempat ke peringkat seterusnya. Perlawanan akhir yang berlangsung pada penghujung sesi menyaksikan persaingan sengit antara peserta terbaik kejohanan. Kemahiran teknikal, strategi permainan dan ketenangan ketika beraksi menjadi faktor utama yang menentukan kemenangan peserta.

 

Setelah semua perlawanan selesai, majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah diadakan pada pukul 4.30 petang. Majlis tersebut disempurnakan oleh Cik Suzziyana Hosni, Ketua Felo Kolej Dua Belas, bersama-sama Felo Penasihat Encik Mohd Akmal Ali dan Felo Pemantau Encik Muhammad Solihin Nawai. Hadiah dan sijil penghargaan telah disampaikan kepada para pemenang sebagai tanda penghargaan atas pencapaian mereka sepanjang kejohanan berlangsung. Dalam masa yang sama, ucapan penghargaan turut diberikan kepada semua peserta dan ahli jawatankuasa yang telah memberikan komitmen bagi menjayakan program tersebut.

 

Pada pukul 5.00 petang, sesi bergambar rasmi telah diadakan melibatkan pihak pengurusan, ahli jawatankuasa dan para peserta. Sesi ini bertujuan untuk merakam kenangan serta menjadi dokumentasi rasmi program. Program K12 eFootball Tournament kemudiannya berakhir dan bersurai secara rasmi pada pukul 5.30 petang. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta. Kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengasah bakat dalam sukan elektronik, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kolej.

 

 

Gambar 1: Reaksi para penonton menyaksikan perlawanan final.

 

 

Gambar 2: Perlawanan peringkat group stage berlangsung.

 

 

 

Gambar 3: Aplikasi permainan mudah alih eFootball dimainkan oleh peserta.

 

 

 

Gambar 4: Perlawanan final sedang berlangsung.

 

 

 

Gambar 5: Sesi bergambar bersama barisan tetamu kehormat, ahli jawatankuasa dan para peserta.

Tarikh Input: 24/06/2026 | Kemaskini: 24/06/2026 | m.ahir

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ DUA BELAS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1440/ 2160
-
W, (01:18:23pm-01:23:23pm, 26 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]