DEMON HAT: SKY SLAYERS BATTLE
KOLEJ DUA BELAS SESI 2025/2026
SERDANG, 4 APRIL – Program Demon HAT: Sky Slayers Battle merupakan program anjuran Sekretariat Sukan dan Rekreasi, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Dua Belas Sesi 2025/2026 dengan kerjasama Pihak Pengurusan Kolej Dua Belas dan Serdang Stingers. Program ini bertujuan menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa Universiti Putra Malaysia dalam sukan Ultimate Frisbee di samping memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan kepimpinan. Melalui pertandingan yang dijalankan, peserta berpeluang meningkatkan kemahiran teknikal dan taktikal dalam sukan Ultimate Frisbee serta membina hubungan yang lebih erat dengan pemain daripada pelbagai kolej dan latar belakang.
Program bermula pada pukul 7:00 pagi dengan sesi pendaftaran peserta dan pengesahan kehadiran. Setelah selesai proses pendaftaran, peserta diberikan taklimat mengenai perjalanan program, peraturan pertandingan serta pembahagian pasukan sebelum pertandingan dimulakan.
Perlawanan Demon HAT: Sky Slayers Battle bermula pada pukul 8:00 pagi dan berlangsung sehingga pukul 12:30 tengah hari. Sepanjang sesi ini, pasukan yang telah dibahagikan bertanding dalam beberapa perlawanan mengikut format yang telah ditetapkan. Pertandingan berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dan persaingan yang sihat, di mana setiap peserta menunjukkan komitmen, kerjasama serta kemahiran permainan yang tinggi bagi membantu pasukan masing-masing memperoleh kemenangan.
Pada pukul 12:30 tengah hari, program dihentikan sementara bagi memberi ruang kepada peserta dan urus setia untuk berehat serta menikmati makan tengah hari. Program diteruskan semula pada pukul 1:30 petang dengan baki perlawanan yang berlangsung sehingga pukul 4:30 petang. Sesi petang menyaksikan persaingan yang lebih sengit apabila pasukan berusaha mengumpul mata dan memperbaiki kedudukan masing-masing dalam pertandingan.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah berlangsung pada pukul 4:30 petang bagi meraikan pasukan dan individu yang berjaya menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan. Majlis diteruskan dengan sesi bergambar rasmi yang melibatkan pihak pengurusan, urusetia dan para peserta pada pukul 5:15 petang sebelum program bersurai secara rasmi pada pukul 5:30 petang.
Secara keseluruhannya, Demon HAT: Sky Slayers Battle telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peserta. Program ini bukan sahaja berjaya mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan, malah turut mengukuhkan semangat kesukanan, kerjasama dan hubungan silaturahim dalam kalangan mahasiswa Universiti Putra Malaysia dan orang awam.
![]() |
|
Gambar 1: Ketibaan dan pendaftaran peserta.
|
![]() |
|
Gambar 2: Perbincangan strategi dalam kalangan ahli pasukan.
|
![]() |
|
Gambar 3: Perlawanan frisbee sedang berlangsung.
|
![]() |
|
Gambar 4: Penyampaian hadiah kepada penerima anugerah khas.
Gambar 5: Sesi bergambar bersama barisan tetamu kehormat, ahli jawatankuasa dan para peserta.
|
Tarikh Input: 21/07/2026 | Kemaskini: 21/07/2026 | m.ahir

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR