COVID-19: Petugas Barisan Hadapan Universiti Menjaga Kebajikan Pelajar | TWELFTH COLLEGE
» NEWS » COVID-19: Petugas Barisan Hadapan Universiti Menjaga Kebajikan Pelajar

COVID-19: Petugas Barisan Hadapan Universiti Menjaga Kebajikan Pelajar

Oleh: Ayna Farhana Mohamad Sari

 

Sukarelawan dan petugas Kolej Dua Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) sedang mengagihkan sumbangan makanan kepada pelajar di Kolej Dua Belas, UPM yang kekal berada di kampus secara percuma.

 

SERDANG, 22 Mac - Seramai 192 orang pelajar di Kolej Dua Belas, UPM yang kekal di dalam kampus menerima makanan percuma daripada UPM sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan. Universiti Putra Malaysia (UPM) memutuskan supaya semua pelajar yang masih berbaki di kampus, kekal tanpa perlu pulang ke kampung masing-masing untuk mengatasi penularan wabak COVID-19.


Pihak UPM menyambut baik Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia dalam mengekang penularan wabak COVID-19. Oleh itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan bantuan makanan kepada pelajar secara percuma yang dihantar terus kepada pelajar supaya pelajar boleh kekal berada di kolej kediaman bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak COVID-19.


Inisiatif pemberian makanan percuma itu ialah untuk mengurangkan beban dan kerisauan seterusnya menghadkan pergerakan semua pelajar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Setia Datuk Dr Aini Ideris, berkata sumbangan sarapan, makan tengah hari dan makan malam menelan kos perbelanjaan sebanyak RM 200,000 secara langsung membantu pelajar dari segi kewangan.


Sukarelawan dan petugas akan mengagihkan makanan secara percuma sebanyak tiga kali sehari kepada pelajar di kampus. Universiti mengambil langkah proaktif dengan membuka Bilik Gerakan yang beroperasi 24 jam sebagai pusat rujukan pelajar serta Felo akan bertugas secara bergilir di Bilik Mesyuarat Kolej Canselor, UPM sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.


Kesemua petugas dan sukarelawan telah diberikan taklimat, berhubung tatacara pencegahan dan kawalan penyakit, termasuk dibekalkan dengan topeng muka dan bahan pembersih tangan, di samping memastikan kawasan bekerja para petugas dan sukarelawan, adalah bersih dan terkawal.


Barang keperluan diri turut diberi secara percuma termasuk dengan bantuan hasil sumbangan para Alumni dan pihak luar di Cafe Kolej Canselor UPM. Beliau berkata, “Pelajar di kolej pinggiran turut dipindahkan ke dalam kampus utama bagi memudahkan mereka mendapatkan perkhidmatan makanan dan bantuan susulan". Bagaimanapun, penyediaan makanan seperti snek, biskut, roti dan air kotak melalui program tersebut akan diteruskan seperti biasa selagi tajaan diterima.


Katanya, “Pelajar UPM yang tinggal di luar kampus boleh berhubung terus dengan Majlis Perwakilan Pelajar atau Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM jika memerlukan bantuan.” Prof Aini berkata, bagi pelajar antarabangsa, UPM menyediakan perkhidmatan kaunter Visa dan Pas dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari bagi tujuan pengambilan balik pasport dan pertanyaan dalam talian. Katanya, UPM menyediakan kemudahan penginapan sementara di Rumah Tetamu kepada pelajar antarabangsa serta mengagihkan barangan asas untuk golongan itu serta menyampaikan pelbagai hebahan terkini melalui media sosial.


“Selain itu, kami juga menyediakan kemudahan pengangkutan untuk pergerakan pelajar ke kedai di Taman Sri Serdang bagi urusan pembelian barang keperluan diri. “Masa pembelian dihadkan iaitu bermula dari jam 10 pagi dan 5 petang dengan kaedah pelajar digalakkan untuk mewakilkan rakan bagi membeli barangan keperluan,” katanya.


Pihak universiti juga mengambil inisiatif untuk sentiasa berkomunikasi dengan seluruh warga kampus, bagi memaklumkan perkembangan terkini pendekatan pengurusan penularan virus COVID-19, yang diambil oleh UPM dengan setakat ini, arahan dan panduan telah dikeluarkan melalui komunikasi emel kepada warga kampus, bagi tujuan itu.

Date of Input: 30/03/2020 | Updated: 31/03/2020 | aynafarhana

MEDIA SHARING

TWELFTH COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 7362/ 2160
-
SXDdWAZ~